Isnin, 15 Ogos 2016

4.4 CARA MENANGANI MASALAH HUBUNGAN ETNIK DAN KAUM DI  
                                                     MALAYSIA
4.4.1 Kesan Peristiwa 13 Mei 1969 Dalam Aspek Ekonomi
          Ketidakseimbangan ekonomi di kalangan kaum merupakan suatu faktor yang telah dikenal pasti sebelum ini sebagai salah satu sebab yang membawa kepada peristiwa 13 Mei. Perasaan kurang senang ekoran daripada ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum telah menimbulkan pelbagai tanggapan salah dan perasaan resah serta irihati yang berterusan di kalangan masyarakat dan inilah keadaan yang sebenar berlaku sebelum peristiwa 13 Mei. Oleh yang demikian pihak kerajaan tidak teragak-agak lagi untuk merangka suatu pelan tindakan yang menyeluruh bagi membendung dan mengatasi masalah itu. Atas alasan itulah pada tahun 1971 kerajaan telah melancar Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB telah dilancarkan bersama-sama Rancangan Malaysia Kedua.Terdapat dua matlamat utama dalam pelancaran DEB, iaitu iaitu pembasmian kemiskinan 'tanpa mengira kaum,' dan kedua penyusunan semula masyarakat Malaysia bertujuan untuk menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi.
          Sementara objektif utama pelancaran Dasar Ekonomi Baru ialah untuk memulihkan hubungan dan ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum. Adalah menjadi harapan agar melalui langkah ini proses agihan kekayaan dan pendapatan serta peluang ekonomi yang lebih seimbang dan menyeluruh akan dapat dilaksanakan. Dengan itu diharapkan perpaduan negara akan lebih terpelihara. DEB telah dirancang untuk tempoh 20 tahun iaitu dari tahun 1971 hingga tahun 1990. Matlamat yang hendak dicapai dalam tempoh tersebut ialah seperti berikut: 19% penanaman modal dalam syarikat Bhd. Sesungguhnya usaha untuk membasmi kemiskinan bukanlah suatu perkara yang mudah. Perlaksanaan DEB sendiri agak perlahan . Usaha untuk membasmi kemiskinan hanya melibatkan tindakan yang tidak mengancam kepentingan golongan yang berharta. Umpamanya tindakan kerajaan menyediakan kemudahan pemasaran dan kredit kepada kaum tani tidak menampakkan tamparan terhadap kepentingan para kapitalis bukan Melayu. Antara langkah kerajaan ialah rancangan penerokaan tanah bagi mereka yang tidak mempunyai tanah, peluang pekerjaan bagi penganggur, serta produktiviti dan kenaikan harga barangan bagi petani . Namun begitu tindakan seumpama ini akan dibatasi oleh keadaan ekonomi. Contohnya kerajaan mungkin berjaya mengawal harga padi dalam pasaran tempatan melalui langkah-langkah tertentu yang diambil, sebaliknya kerajaan tidak terdaya untuk berbuat demikian bagi getah yang dijual di pasaran antarabangsa. Bagaimanapun langkah kerajaan dalam menangani masalah kemiskinan kaum bumiputera sedikit sebanyak telah berhasil . Sekitar tahun 70-an pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pesat. Sekalipun barangan ekspot seperti getah didapati sukar bagi kerajaan untuk mengawal kestabilan harganya kerana dipengaruhi oleh pasang surut pasaran antarabangsa di mana ia turut mempengaruhi kadar kemiskinan di kalangan pekerja ladang contohnya naik daripada 40.0 peratus pada tahun 1970 kepada 47.0 peratus (1975), sebelum jatuh kepada 35.1 peratus (1980), kemudian meningkat semula kepada 54.6 peratus (1983).
          Berbalik kepada kadar kemiskinan di kalangan penanam padi telah turun daripada 88.1 peratus pada tahun 1970 kepada 77.0 peratus (1975), dan turun lagi kepada 52.7 peratus (1980), tetapi ianya meningkat semula kepada 54.0 peratus (1983). Kadar penurunan yang nyata daripada tahun 1970 adalah kesan daripada subsidi yang dibekalkan oleh kerajaan. Sebaliknya peningkatan kos pengeluaran termasuk kenaikan harga input-input pertanian seperti baja dan racun menyebabkan peratusnya meningkat semula.

4.4.2  Persepakatan Diantara Kaum
          Malaysia merupakan satu negara yang unik dimana ia merupakan satu negara yang mempunyai banyak kaum yang didiami oleh masyarakat Melayu, Cina dan India yang merupakan tiga kaum utama negara Malaysia. Bilangan penduduk Malaysia sehingga tahun 2010 dianggarkan melebihi 28.25 juta penduduk .Daripada bilangan penduduk ini, bangsa Bumiputera Melayu meliputi 50.4%, Cina 23.7%, dan India 7.1% dan selebihnya adalah kaum-kaum bumiputera bukan Melayu dan lain-lain. Sejak mengecapi kemerdekaannya sejak tanggal 31 Ogos 1957, banyak cabaran dan dugaan yang telah dilalui oleh negara dan yang paling utama diantaranya adalah mewujudkan perpaduan dikalangan kaum yang pelbagai ini. Perkara ini menjadi semakin penting selepas tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dimana negara menyaksikan rusuhan kaum yang dahsyat sehingga negara terpaksa diletakkan dibawah pemerintahan tentera. Ekoran daripada peristiwa tersebut, Rukun Negara telah diwujudkan dan banyak program serta inisiatif telah dijalankan untuk mengeratkan perpaduan diantara kaum bagi memastikan “pisang tidak berbuah dua kali”. Perpaduan antara semakin menyerlah dari semasa ke semasa sejak dari peristiwa berdarah tersebut sehingga kini. Perselisihan faham antara kaum dapat dielakkan melalui perancangan beberapa program yang mewajibkan setiap kaum untuk melibatkan diri. Program yang dilaksanakan perlu merangkumi aktiviti-aktiviti yang berunsurkan perpaduan. Program seperti “Program 1 Malaysia”, program penubuhan Sekolah Wawasan dan banyak lagi program-progrm yang lain perlu diperbanyakkan.  Program lain seperti rumah terbuka bagi perayaan-perayaan setiap etnik yang diamalkan dalam negara kita juga perlu diperluaskan dalam seluruh negara.  Program-program seperti ini diperlukan kerana, ini dapat memupuk semangat cinta akan tanah air kita sekaligus dengan melahirkan perasaan menghormati adat-resam kaum lain.  Hal ini akan menjalinkan hubungan yang erat antara masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.  Semangat patriotisme yang akan dipupuk ini perlu dimulakan dari kecil lagi bah kata pepatah melayu, “ melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Ibu bapa perlu mendorong anak-anak untuk bergaul sesama masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik.  Masyarakat kita juga perlu bergaul, berkongsi pendapat dan membina kumpulan dengan masyarakat kaum lain.  Kita perlu sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan bersatu dan berusaha menghindari segala faktor yang boleh memecahbelahkan kesepakatan.  Ia perlu diberi perhatian kerana masih wujud golongan yang berkepentingan untuk bermain dengan api sentimen perkauman dan agama.  Hakikat kita mampu mengekalkan cara hidup aman dan damai tidak boleh dijadikan alasan untuk kita terus berasa selesa.  Kita sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dari dalam mahupun luar.  Justeru itu, kita perlu sentiasa berhati-hati agar tidak berprasangka buruk sesama kaum supaya mengelak sikap mementingkan diri.

4.4.3 Bahasa Dan Cara Berkomunikasi
          Di dalam Malaysia terdapat lebih kurang 19 bangsa / suku di Malaysia dan ini menggambarkan betapa banyaknya bahasa petuturan yang digunakan di negara ini. Kepelbagaian bahasa petuturan ini menyebabkan akan timbulnya masalah komunikasi di kalangan rakyat yang pelbagai. Sekiranya setiap bahasa hanya mengutamakan bahasa-bahasa pertuturan bangsa mereka sahaja maka akan menyebabkan terjadinya pemisahan pergaulan di antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Dan akan terjadi pergaulan yang amat minimum di kalangan bangsa-bangsa ini. Ia adalah kerana mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik sesama masyarakat lain kerana mereka hanya fasih menggunakan bahasa ibunda mereka sahaja.
          Ini akan menyebabkan hubungan di antara masyarakat yang berlainan bangsa menjadi renggang dan tidak mesra dan ini akan membuka ruang-ruang untuk menyebabkan terjadinya konflik di antara kaum.
          Penyelesaian kepada masalah ini ialah pihak kerajaan perlu memperkasakan lagi usaha-usaha di dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan terutamanya di peringkat pendidikan rendah. Segala urusan-urusan rasmi dan juga tidak rasmi perlulah menggunakan bahasa kebangsaan.
          Akhbar-akhbar yang menggunakan bahasa-bahasa ibunda bangsa lain seperti Nyangnyang Siang Pau (akhbar Cina), Tamil Nesan (akhbar India) perlu mengadakan satu sisipan di dalam akhbar tersebut untuk slot mempelajari bahasa kebangsaan. Ini bagi membolehkan rakyat-rakyat yang bukan dari kalangan orang Melayu dapat mempelajari dan memantapkan lagi penguasaan mereka di dalam bahasa kebangsaan.
          Media-media elektronik juga perlu memainkan peranan untuk menggunakan bahasa kebangsaan di dalam siaran mereka agar rakyat boleh membiasakan diri mereka dengan bahasa kebangsaan. Ini akan menjadikan bahasa kebangsaan menjadi bahasa yang benar-benar utama dan menjadi satu kemestian setiap rakyat di negara ini untuk mempelajari dan menguasainya. Dengan ini bangsa-bangsa di Malaysia akan dapat berkomunikasi dengan baik sesama masyarakat yang berlainan suku / bangsa. Dan secara tidak langsung ia akan merapatkan hubungan sesama kaum dan seterusnya terjadilah perpaduan di dalam masyarakat.

4.4.4 Saranan Dan Pengaruh Daripada Ibubapa
          Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Orang pertama yang paling awal mendekati anak-anak adalah ibu bapa. Oleh itu fikiran dan kelakuan anak-anak akan dipengaruhi oleh ibu bapa mereka. Contohnya anak-anak mereka akan didedahkan tentang isu-isu kaum sejak kecil lagi. Disebabkan kebanyakkan ibubapa di Malaysia masih mempunyai tanggapan yang salah terhadap isu-isu kaum seperti peristiwa 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969 iaitu rusuhan yang berlaku dan kemucak masalah perpaduan di Malaysia, maka mereka akan memberi fakta yang terpesong yang akan mempengaruhi anak-anak terhadap bangsa-bangsa yang lain di Malaysia. Hal ini menyebabkan perpaduan dan persepakatan antara kaum dan bangsa sukar dicapai.

4.4.5 Agama
          Kepelbagaian bangsa juga turut membawa kepada kepelbagaian agama. Di negara ini menurut perlembagaan Malaysia pada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan:
"Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan"
          Dari apa yang dinyatakan di dalam perlembagaan tersebut ialah walaupun agama Islam diiktiraf di dalam perlembagaan Malaysia sebagai agama rasmi Persekutuan namun penganut-penganut agama-agama lain masih dibenarkan untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang gangguan. Namun begitu kadangkala terdapat isu-isu yang sensitif yang dibangkitkan di antara agama yang jika tidak ditanggani dengan baik boleh mencetuskan konflik dan rusuhan antara agama. Antara isu yang pernah timbul yang membabitkan soal sensitiviti agama ialah berkenaan tuntutan jenazah orang yang telah memeluk Islam oleh keluarganya yang tidak Islam, pembinaan rumah ibadat orang bukan Islam di kawasan penduduk majoriti Islam dan yang terkini ialah iklan Hari raya Aidilfitri yang menyelitkan unsur-unsur agama lain seperti terdapatnya elemen Santa Claus. Penyiaran iklan ini oleh sebuah syarikat televisyen swasta telah menyebabkan umat Islam menjadi marah dan dibantah keras oleh pihak-pihak yang memperjuangkan agama Islam
           Umum mengetahui bahawa jika isu agama ‘disentuh’ oleh mana-mana pihak pastinya akan menimbulkan masalah dan konflik yang besar dan bukan hanya boleh menyebabkan rusuhan tetapi juga peperangan. Oleh yang demikian pihak kerajaan telah menggubal beberapa undang-undang bagi mengekang dan mengatasi masalah ini. Antara undang-undang ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau di dalam bahasa Inggeris ia disebut ‘Internal Security Act’ (ISA) dan lain-lain lagi undang yang telah digubal oleh Kerajaan Malaysia.
          Sebagai contoh di dalam berkaitan penyiaran iklan yang menyentuh agama lain seperti kes yang telah dinyatakan di atas, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengambil tindakan terhadap stesen televisyen tersebut dengan mengenakan kompaun sebanyak RM 50,000 terhadap stesen televisyen tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan