5.0 KESIMPULAN
Kesimpulan bagi topik
yang dibincangkan iaitu ‘cara penyelesaian isu-isu negatif perkauman di
Malaysia bagi mengelakkan masalah hubungan etnik’, kita dapat lihat dimana
banyak masalah akan timbul ekoran tidak wujudnya persepakatan padu di antara
kaum. Populasi etnik di Malaysia sehingga kini meliputi tiga etnik terbesar
iaitu Melayu, Cina dan India. Cabaran yang paling mencabar adalah untuk menyatu
padukan serta memupuk suasana harmoni bagi kaum yang pelbagai ini. Peristiwa
hitam 13 Mei 1969 dan peristiwa Kampung Medan 2001 haruslah diambil sebagai
pengajaran dalam mewujudkan persepakatan diantara kaum. Usaha untuk memupuk
perhubungan etnik di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa adanya
kerjasama daripada semua pihak.
Kestabilan ekonomi dan politik merupakan asas kepada perpaduan hubungan etnik.
Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara
dan perpaduan yang dikecapi pada hari ini haruslah dihargai agar terus dirasai
oleh generasi akan datang. Pelbagai usaha telah diambil untuk meneruskan agenda
nasional dan secara tidak langsung memupuk ke arah hubungan etnik yang harmoni
dan bersatu padu. Diantaranya adalah perlaksanaan Wawasan 2020, perlaksanaan
pelan pembangunan lima tahun, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan
Kebangsaan dan sebagainya. Persoalan hubungan etnik, perpaduan dan integrasi
amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan
negara berjalan rancak tanpa sebarang gangguan.
Cabaran kepada perpaduan itu bermula pada era penjajahan British yang
memisahkan masyarakat Tanah Melayu menerusi dasar pecah dan perintah.
Dasar ini telah menyebabkan kita berpecah-belah mengikut pola kependudukan
dan penempatan, jenis pekerjaan dan sistem pendidikan mengikut kaum. Namun itu
bukanlah alasan untuk kita terus-menerus meletakkan kesalahan tersebut kepada
penjajah.Ini kerana kesilapan itu boleh diperbaiki apatah lagi negara sudah
lama mengecapi nikmat kemerdekaan.
Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara.
Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited
untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Justeru, masyarakat
perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya
kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi,
pendidikan dan integriti.
Malaysia pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan yang akan
menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara
kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira
agama dan bangsa. Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara
kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan
dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan membazirkan
usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan